Monday, February 14, 2011

Pulau Pinang Perkenal Potongan Kelapa Muda 'Pearl Coco'


BAK MUTIARA… Pekerja daripada Emanate Agricultural Industries Sdn Bhd, Noor Husin menunjukkan cara-cara memotong kelapa muda " Pearl Coco" selepas majlis perasmian kursus penyediaan dan demontrasi kelapa muda. Foto: Rosli Nayan
BUKIT MERTAJAM, 14 Jun (Bernama) -- Pulau Pinang memperkenalkan potongan kelapa muda jenis "Pearl Coco" sebagai identiti baru kelapa muda.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir Negeri, Datuk Azhar Ibrahim berkata, potongan "Pearl Coco" yang telah dibuang kulit serta menampakkan bahagian atas isi kelapa kelihatan seperti mutiara putih yang terkeluar dari buah itu.

"Dengan memperkenalkan potongan ini, buah kelapa muda kelihatan lebih menarik, bersih dan boleh dipromosikan sebagai antara produk minuman utama di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan potongan Pearl Coco sempena kursus penyediaan dan demonstrasi kelapa muda di Hotel Universiti Teknologi Mara (UITM) di sini.

Antara 3,000 dan 5,000 biji kelapa muda dijual setiap hari di Pulau Pinang oleh peniaga minuman dari gerai di tepi jalan, hypermarket sehingga ke hotel lima bintang.

Azhar berkata sebagai negeri yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan untuk memacu ekonominya, amat wajar bagi penduduk Pulau Pinang mempromosikan kelapa muda sebagai produk minuman yang menyegarkan serta berkhasiat.

Beliau berharap mereka akan menggunakan tanah terbiar di kawasan mereka untuk tanaman kelapa bagi menyokong industri ini.

Azhar berkata, dengan menggunakan potongan "Pearl Coco", buah kelapa muda boleh dijual dengan harga antara RM3.50 dan RM3.80 sebiji manakala di hotel ia boleh mencecah sehingga RM10 sebiji.

Sebagai permulaan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) cawangan Pulau Pinang dilantik untuk mempromosikan produk Pearl Coco di negeri itu dan peniaga atau pengusaha yang berminat untuk mempelajari teknik potongan serta mendapatkan pisau khas untuk memotong buah itu boleh menghubungi pejabat FAMA negeri.

Sebuah syarikat yang berpejabat di Sabak Bernam, Selangor, dan merupakan pengeluar kelapa muda potongan "Botak Coco", "Coco Fresh" dan "White Coco" akan membantu FAMA Pulau Pinang melatih pekerja bagi menghasilkan potongan Pearl Coco itu, kata Azhar.


No comments: