Sunday, February 6, 2011

sejuta kelapa atasi krisis bekalan

sejuta kelapa atasi krisis bekalan

// November 24th, 2010 // Aktiviti Setempat
Oleh FAZRINA AYU RADUIAN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 23 Nov. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengimport sejuta biji kelapa dari negara jiran terutama Indonesia bagi mengatasi kekurangan bekalan kelapa yang kian meruncing.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, langkah tersebut akan dilaksanakan berkuat kuasa serta-merta bagi mengelak kekurangan bekalan kelapa merebak ke negeri lain.
“Disebabkan krisis bekalan di beberapa negeri, kementerian mengambil langkah untuk mengimport sejuta biji kelapa bagi memastikan bekalan kembali pulih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas masalah bekalan kelapa di beberapa negeri yang bermula di Pulau Pinang hingga mengakibatkan peniaga santan dan kelapa parut menghentikan perniagaan buat sementara waktu kerana tidak mendapat bekalan.
Krisis kekurangan bekalan kelapa kemudian menular ke sekitar Lembah Klang dan terbaru di Kelantan.
Sementara itu, beliau berkata, kekurangan bekalan kelapa pada masa ini juga dipengaruhi oleh musim melawas yang mengakibatkan pokok kurang berbuah sedangkan permintaan tinggi ketika ini.
“Secara kebetulan, pengeluaran kelapa di negara ini mengalami musim melawas dan ia menjejaskan pengeluaran kelapa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah, peniaga mahu pun pembekal tidak perlu bimbang kerana kerajaan berusaha untuk mengatasi masalah ini dengan segera.
sumber : www.utusan.com.my

No comments: