BAGAN DATOH: Seramai 249 pekebun kecil kelapa dari lapan kampung mukim Rungkup di sini menuntut pampasan dan ganti rugi RM58 juta daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di atas kegagalan projek kelapa matag seluas 382 hektar yang mereka usahakan sejak lapan tahun lalu.
Tuntutan itu dibuat oleh Jawatankuasa Bertindak Projek Tanaman Kelapa Matag Parlimen Bagan Datoh (JBPTKMP-BD) yang menjadi wakil dan jurucakap bagi pekebun kecil terbabit.
Pengerusi jawatankuasa itu, Burhanuddin Yusoff, berkata satu memorandum mengenai perkara berkenaan akan diserahkan terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam waktu terdekat.
"Kami ingin meminta jasa baik Perdana Menteri yang begitu prihatin terhadap industri pertanian agar dapat menimbang dan meluluskan bayaran ganti rugi itu," katanya di sini semalam.
Burhanuddin berkata, pekebun kecil yang menanam kelapa matag seluas 2.02 hektar setiap seorang adalah dari Kampung Sungai Haji Muhammad, Sungai Pergam, Sungai Batang, Sungai Nipah Baruh, Sungai Balai Baruh, Sungai UIar, Sungai Betul dan Tebuk Mukmin.
Katanya, mereka telah menebang pokok kelapa asal spesies Malaya Tall yang berusia lebih 50 tahun untuk membolehkan tanaman kelapa matag dilakukan setelah menerima tawaran dari Jabatan Pertanian dan lndustri Asas Tani Daerah Hilir Perak, menyertai program itu sejak 2000.
Beliau berkata, pekebun kecil yang menyertai program berkenaan dijanjikan bakal memperoleh pendapatan lebih RM1,000 sebulan apabila projek itu berhasil dan mendatangkan jualan.
Bagaimanapun, katanya, harapan pekebun kecil untuk memperoleh pendapatan hasil dari kelapa Matag setelah ditanam empat tahun berkecai kerana pokok ditanam tidak mengeluarkan hasil seperti yang dijanjikan oleh agensi kerajaan itu.
Burhanuddin mendakwa, punca Kelapa Matag gagal mengeluarkan hasil kerana benih kelapa yang dibekalkan oleh Jabatan Pertanian tidak berkualiti malah ada pula benih yang busuk serta tidak pula dibekalkan racun dan baja.
"Jabatan Pertanian juga tidak membuat kawal selia ke atas tanaman sebaliknya menyerahkannya 100 peratus kepada pekebun yang terdiri dari warga emas yang tidak ada pengalaman menguruskan tanaman itu, untuk memikirkan sendiri kaedah terbaik mengusahakannya," katanya.
Beliau berkata, pekebun kecil juga sepatutnya menerima peruntukan RM6,000 sehektar tetapi yang diluluskan hanya RM3,500 sehektar saja menyebabkan projek itu terus terbengkalai kerana tidak ada kos mencukupi.
"Mereka menjadi mangsa keadaan dan kehilangan mata pencarian akibat kecuaian dan sikap tidak serius agensi kerajaan yang mengendalikan projek itu" katanya,.
Burhanuddin juga berkata, tuntutan ganti rugi sebanyak RM58 juta itu berdasarkan kepada harga pasaran kelapa bulat sekarang iaitu 90 sen sebiji dengan purata pekebun mengalami kerugian antara RM200,000 hingga RM300,000 bagi tempoh lapan tahun.
Friday, March 12, 2010
Lagi mengenai kelapa matag
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment